Sentuhan Rasa dan Fikir dalam Puisi Melayu Tradisional
Perbincangan dalam buku ini tertumpu kepada puisi Melayu tradisional yang lebih menjurus kepada pantun, syair, gurindam dan mantera selain membuat perbandingan dengan puisi etnik Jawa dan Banjar. Pembaca dapat melihat kecerdasan fikir bangsa Melayu yang mencipta lakaran bahasanya, luahan hatinya dan getar jiwa seninya melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupannya. Kebanyakan puisi tradisional dipilih daripada pantun-pantun yang sudah mendarahdaging dalam kehidupan Melayu.
Jika seseorang pemantun menggunakan pantun “nasi lemak buah bidara, pisang emas dibawa belayar, dari mana datangnya lintah dan pulau pandan jauh ke tengah,” secara sepontan, manusia Melayu akan tahu makna tersirat menerusinya tanpa ditunjuk ajar. Begitulah kedudukan pantun yang sudah sebati dalam kehidupan manusia Melayu. Kini pantun terus digunakan dalam pelbagai suasana. Buku ini lebih tertumpu kepada pencernaan penulis ke atas beberapa pantun dengan melihatnya dari pelbagai perspektif sama ada keterikatannya, tema dan konsep kerana pantun dicipta atas kesedaran dan bukan dizahirkan secara tangkap muat atau mengambil sembarang kata.
Price: MYR 30.00