Due to Malaysia's restricted movement order, we may take some time to process your purchase. Thanks for your support! ♥️

Sistem Beraja ibarat kelongsong peluru yang kosong tanpa isi

Posted by Taufik Rosli 29/08/2019 0 Comment(s) News,

Sistem Beraja ibarat kelongsong peluru yang kosong tanpa isi

 

PETALING JAYA: Abdul Halim Ali, seorang bekas pensyarah sosiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu sistem monarki yang diamalkan pada hari ini seperti sebuah kelongsong peluru yang kosong. “Monarki adalah sisa sejarah kita sendiri. Institusi ini kini seperti kelongsong peluru. Hanya tinggal bekas tetapi fungsi absolut-nya sudah tiada. Isi pelurunya sudah tidak ada, hanya tinggal kelongsong sahaja. Kuasanya menjadi minimal tetapi tercatat di dalam perlembagaan negara sebagai Raja Berperlembagaan.”

 

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau membuat persamaan ketika Islam masuk dan ketika zaman Hinduisme dahulu yang menggunakan pendeta-pendeta di kuil untuk mengabsahkan kedudukan diraja. “Pendeta di kuil-kuil digunakan untuk mengabsahkan kedudukan Raja-Raja dan ketika Islam masuk, ulamak-ulamak pula digunakan untuk mengabsahkan kedudukan Raja-Raja. Kedua-dua ini sumbernya adalah agama. Satunya Islam dan satu lagi Hinduisme.”

 

Beliau berkata demikiran di forum Mimbar Gerakbudaya yang bertajuk “Merenung kembali sistem monarki Malaysia dan Tumpuan kepada buku Raja-Raja Melayu tulisan Syed Husin Ali” yang berlangsung pada ahad lalu. Forum ini juga turut dihadiri oleh peguam dan aktivis Hak Asasi Manusia, Fadiah Nadwa dan dimoderator oleh Imran Rasid, yang mewakili Imagined Malaysia. 

 

Jemputan Abdul Halim Ali sebagai ahi panel dalam forum itu adalah untuk memberi ulasannya terhadap buku Raja-Raja Melayu tulisan Syed Husin Ali. Beliau memberitahu, debat parlimen Malaysia yang berlaku pada 1983 dan 1992 dahulu tentang kedudukan monarki, peranannya, haknya dan tanggungjawabnya, “Walaupun kecil pindaannya, tetapi ia tetap memberi kesan yang mendalam.”

 

“Dari satu sudut, upaya pemindaan itu sesungguhnya satu mekanisme sosial bagi memantapkan lagi satu institusi yang mengharungi zaman sejak abad ketujuh,yang tentunya terbuka kepada gelombang perubahan, dari dalam mahupun luar.”

 

“Institusi tersebut dalam sejarahnya dilanda penjajahan lalu mengubah drastik fungsi dan peranannya. Pada 1957 hak dan tanggungjawabnya tetap pada darjat lambang. Bagaimanapun haknya tercatat dalam perlembagaan negara yang sekaligus menandakan pengakuan akan institusi tersebut oleh undang-undang tertinggi perlembagaan Malaysia.”

 

Beliau kembali ke masa lampau dengan mengambil contoh era Zaman Pencerahan Eropah. Baginya, pengalaman sejarah Zaman Pencerahan Eropah yang ingin menghapuskan tradisi telah gagal, “lalu setelah itu sebagai reaksi muncul aliran falsafah konservatisme. Tradisi hanya terhapus apabila terjadi detradisionalisasi masyarakat.”

 

Baginya Monarki bukan persoalan pokok dan perlu ada perubahan untuk meletakkan institusi ini terus relevan. Katanya “Yang terbaik untuk Malaysia adalah untuk membina teori monarki yang sesuai dengan roh zaman yang baru. Boleh dikritik dan sebagainya dan hal ini bukan sesuatu yang asing kerana hal yang sama pernah dibuat untuk memperuntukkan di dalam perlembagaan.

Write a Comment