Due to Malaysia's restricted movement order, we may take some time to process your purchase. Thanks for your support! ♥️

Ulasan Buku: Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemundukan. - Abdul Halim Ali

Posted by Huda Naim 27/08/2019 0 Comment(s) Review,

Ulasan Buku

 

Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemundukan.

Penulis: Syed Husin Ali

Terbitan: 2019

Penerbit: SIRD

 

Oleh: Abdul Halim Ali

 

Pemerintahan monarki di zon budaya Nusantara dikatakan mengekal banyak sekali ciri dasar kepimpinan lokal tradisional, seperti ‘Datu’ (Raja kecil-kecilan), ‘Demang’ (Ketua daerah), ‘Merah’ (gelaran untuk Raja Kecil atau Penghulu) yang bergantung kepada kualiti kepimpinan peribadi.

 

Monarki dan feudalisme

 

Idea tentang kesucian monarki itu sekadar cantuman dan tempelan dari India. Monarki di Nusantara sekadar mengimport amalan India dalam upayanya mengukuhkan lagi kekuasaannya sendiri. Maka untuk tujuan tersebut, sistem pemerintahan digabungkan dengan kelompok pendeta dicandi agar struktur kuasanya menjadi rasmi. 

 

Salah satu masalah mengkaji monarki adalah konsep yang mengdampinginya, iaitu feudalisme. Perdebatan tentang istilah tersebut terjadi disekitar persoalan: Apakah feudalisme seperti yang didakwa beberapa sejarawan sekadar satu istilah teknikal tentang satu praktik sosial yang eksklusif di Eropah Barat dan yang hanya hadir pada zaman pertengahan? Ataupun kata feudalisme seperti yang disarankan, termasuk ahli sosiologi, dikonsepsikan secara abstrak sebagai sejenis organisasi politik.

 

Ertinya, feudalisme dilihat sebagai satu bentukan masyarakat yang termasuk didalamnya institusi politik dan ekonomi. Dalam erti kedua, feudalisme adalah tahap evolusi masyarakat antara jenis ‘primitif’ dengan jenis ‘kapitalis’. Feudalisme dalam erti kedua dipakai oleh pengarang buku ini.


 

Kedudukan Monarki di Malaysia

 

Debat parlimen Malaysia pada 1983 dan 1992 tentang kedudukan monarki, peranannya, haknya dan tanggungjawabnya, sekali imbas pemindaan perlembagaan itu kelihatannya kecil, tetapi kesannya mendalam. Dari satu sudut, upaya pemindaan itu sesungguhnya satu mekanisme sosial bagi memantapkan lagi satu institusi yang mengharungi zaman sejak abad ketujuh,yang tentunya terbuka kepada gelombang perubahan, dari dalam mahupun luar.

 

Institusi tersebut dalam sejarahnya dilanda penjajahan lalu mengubah drastik fungsi dan peranannya. Pada 1957 hak dan tanggungjawabnya tetap pada darjat lambang. Bagaimanapun haknya tercatat dalam perlembagaan negara yang sekaligus menandakan pengakuan akan institusi tersebut oleh undang-undang tertinggi perlembagaan Malaysia. 

 

Buku ini memilih tiga perspektif untuk menjawab persoalan pokoknya: Pertama, apakah Raja-Raja Melayu mengalami kemajuan atau kemunduran? Perspektif yang dipakai adalah sejarah, kontemporari, dan perbandingan. Jawapannya kepada persoalan ini terdapat di bab perumusan dan kesimpulan. Disitu juga terpancar posisi pengarang tentang institusi yang dibicarakan. Sosiologi politik menjadi alat analisisnya.

 

Pengarang pada bahagian pertama buku ini membicarakan asal muasal institusi monarki Malaysia dengan mengusut ideologinya yang terpancar dalam mitologi Melayu disatu tempat mitos- Bukit Seguntang.

 

Memang menjadi sifat mitologi, ia terus menerus memberikan kesan keatas sub-sedar masyarakat dari satu generasi kegenerasi lain dalam bentuk memori kolektif, sekalipun berbeza-beza kesannya keatas masing-masing individu dan kelompok sosial dan kedudukan geografi di dalam zon budaya Nusantara.

 

Mitos tersebut dimunculkan kembali sebagai memori kolektif pada 1998 setelah tindakan pemerintahan dikatakan mendustai waad Bukit Seguntang tatkala Anwar Ibrahim dihina dikhalayak ramai.

 

Namun, sangat membantu lagi, khususnya untuk pengkaji mendatang kiranya perspektif sejarah yang dipakai dalam buku ini bersifat Longue Duree, yakni lebih lama kebelakang tempoh liputannya. Hal ini kerana kerajaan Melaka boleh juga dilihat sebagai kontinuiti sejarah daripada Majapahit, manakala Majapahit pula daripada Sriwijaya.

 

Malah sering dipertanyakan bagaimanakah mungkin sebuah penempatan nelayan di Melaka mengembang menjadi emporium dan pusat peradaban kalau tidak kerana kumulasi peradaban sebelumnya. Sehubungan itu, mungkin rangka ‘Kawasan Budaya’ dalam antropologi boleh dipakai untuk memerihalkan latar belakang monarki Nusantara , walaupun selayang pandang. Selain itu, rangka ‘Zon Budaya’ sejarawan Fernand Braudel difikirkan sangat sesuai untuk maksud diatas.

 

Dua bab pertama sarat dengan rentetan kejadian tentang monarki dan monark-monarknya yang dicatatkan dengan rapi dari perspektif sejarah jangka lama dan baharu. Urutan peristiwa yang dicatat dengan cermat menyediakan pembaca mengerti lagi mengapa krisis perlembagaan pada 10 Disember 1992 terjadi.

 

Hal ini diikuti dengan rumusan signifikan bahawa krisis tersebut sebenarnya yang menghasilkan daya baharu kepada raja yang ironisnya pula menambahkan lagi aktivisme Diraja termasuk berpihak politik. Ternyata krisis juga adalah titik perubahan yang tidak dijangka.

 

Konflik Istana dan Parlimen

 

Persaingan untuk memperoleh pengaruh politik antara istana dengan parlimen di perihalkan dengan baik oleh pengarang didalam bab keempat. Konflik di Perlis, Terengganu, Perak, Selangor bersama-sama dampak politiknya dihuraikannya mengakibatkan dikalangan orang Melayu pendirian yang berbelahan tentang monarki.

 

Ditunjukkan pengarang kecenderungan para belia yang tidak lagi  berkeberatan mengungkapkan sentimen anti-Raja sekalipun diiringi konsekuensi legal yang ditanggungi mereka.

 

Bahasa Istana

 

Bicara pengarang tentang dua perkara- Darjat dan jiwa hamba di bab awal dikembangkan lagi dibab empat kerana masih terdapat kontinuiti daripada praktik lama. Lalu, dihujahkan pengarang bahawa di Malaysia sebahagian bahasa yang dipakai untuk Raja hingga sekarang sangat mengaibkan.

 

Di berikan tiga kata tersebut- ‘Patik’, ‘Duli’ dan ‘Sembah’ sebagai contoh. Jiwa hamba ditunjukkannya sebagai sejenis psikologi takut dan terlalu merendahkan diri yang masih terdapat dikalangan rakyat.

 

Hal diatas, meskipun bukan pokok bicara buku masih boleh didebatkan atas dua pertimbangan. Pertama, kata-kata yang masih dipakai dalam komunikasi dengan para monarki, rata-ratanya adalah ‘kelongsong’, yakni bentuk dan kulitnya masih dipakai, sedangkan isinya sudah lama tidak, malah tiada makna signifikan lagi. Bilik ‘Santapan’ terdapat di kedai makan, ‘Istana’ dijadikan nama hotel.

 

‘Patik’ adalah kata Nusantara yang dipakai dalam sastera lama yang maksudnya ‘hamba tebusan’, ‘budak belian’, sama seperti kata ‘sahaya’ (abdi) yang terevolusi menjadi ‘saya’. Belum ditemukan sebarang sumber perbendaharaan kata ‘patik’ bererti ‘anak anjing’.

 

‘Duli’ dari kata sanskrit ‘Dhuli’ bererti ‘debu’ yang dalam bahasa kita bermaksud ‘abu’ yang melekat pada kaki. Kata itu terevolusi yang bermaksud ‘Baginda’ dan juga bererti ‘kaki’. Menjunjung Duli bererti sujud kepada baginda dan juga bererti ‘mengerjakan perintah Raja’. ‘Sembah’ pula adalah perbuatan yang mempamerkan penghormatan kepada raja dan juga kata yang ditujukan kepada raja.

 

Dalam transformasi kata-kata Diraja tidak kurang muncul situasi ironis, malah aneh. ‘Beta’ kata Hindi yang beerti ‘Hamba abdi’ kini dipakai sebagai kata ganti diri pertama oleh Raja sendiri. Dimaluku, kata itu dipakai orang biasa yang bererti ‘saya’. Banyak kata kini menjadi kata neutral-kedirajaan dan neutral-darjat dan yang telah dicairkan kemurnian kedirajaannya, lalu bebas daripada sebarang tulah status sosial arkaik.

 

Jiwa hamba boleh juga ditafsirkan sebagai penjelmaan sesuatu gagasan. Maksudnya, sesuatu idea seperti jiwa hamba tidak lain adalah cerminan dunia material dalam fikiran manusia yang selanjutnya dipindahkan kedalam bentuk pemikiran. Yang demikiran bukan gagasan melainkan perubahan ekonomi yang mendorong perubahan. Seperti yang tercatat terdahulu, hal-hal diatas terungkap pengarang sepintas lalu, in passing, semata. Pendemokrasian bahasa Indonesia adalah hasil revolusi demokrasi sosial indonesia.

 

Renovasi idealogi Monarki

 

Bab empat penting dan kemuncak tiga bab terdahulu yang memberikan fokus kepada kontradiksi genting yang memuncak antara istana dengan parlimen dalam upaya memperoleh pengaruh politik masing-maisng. Bahagian buku menunjukkan bagaimana parti pemerintah sesungguhnya yang telah memberikan kekuatan baharu kepada Raja yang oleh pengarang dikatanya Raja semakin nyaring bersuara dalam hal politik, walaupun mereka harus neutral. Mungkinkah ini upaya renovasi idealogi monarki?

 

Amat membantu sekiranya dapat dipetakan bilakah dan sebabnya rakyat erat dan renggang, yang silih berganti itu dengan rajanya dalam sejarah. Analisis sosiologi tentang pasang surutnya hubungan demikian dapat menyumbang kepada korpus pengetahuan tentang institusi tersebut. Perspektif ekonomi politik mungkin membantu upaya pemetaan pasang-surut demikian dalam situasi raja dan rakyat ‘Berpisah tiada’.

 

Perolehan kekuatan baharu oleh Raja seperti yang ditunjukkan pengarang menolak argumen beberapa sejarawan kolonial yang telah mengkebumikan institusi itu berkali-kali dari masa kemasa.

 

Perspektif perbandingan dipakai pengarang untuk memerihalkan keadaan di Malaysia dalam konteks pelbagai sistem monarki dinegeri terpilih dan perubahan yang dialami monarki disitu. Bahagian ini membantu memahami evolusi monarki Malaysia - persamaan dan perbezaan, malah kekhususannya.

 

Kebangkitan semula kedudukan sosial dan politik Diraja

 

Seorang sejarawan Malaysia pada 2011 mengamati bahawa monarki Malaysia mengalami kebangkitan semula kedudukan sosial dan politiknya, lalu menjadi bertambah proaktif sosial dan politik. Olehnya dirumuskan telah terdapat peralihan orientasi institusi monarki Malaysia yang berkecenderungan kearah penolakan model monarki Westminister. Malah, dikatakan monarki Malaysia mirip model monarki Thailand. Sangat memanfaatkan jika kasus Thailand termasuk dalam perspektif perbandingan.

 

Semua kajian mengandung tanya pokoknya. Tanya pokok buku terdapat pada judulnya, sementara jawapannya tertumpu dibab akhir. Atas pertimbangan bahawa belum ‘nampak tanda atau agenda politik untuk menghapuskan institusi raja” serta penyataan pengarang “...kedudukan raja boleh dikatakan masih kuat…”, beliau segera mengemukakan pertanyaan yang kompelks: Bagaimanakah institusi tersebut menyesuaikan diri atau disesuaikan mengikut kehendak perubahan, kemajuan, pemodenan demokrasi keadilan, nilai agama serta adat?

 

Di tempat lain pula, pengarang berpendapat bahawa memandangkan suasana serta keadaan sekarang, ia mungkin mengambil masa lebih lama di sini daripada negara-negara lain. Dalam nafas sama beliau segera melanjutkan penyataan “... atau mungkin ia tidak berlaku sama sekali”, hal ini menjadi ketentuan sejarah.

 

Sejarah lampau

 

Berkaitan sejarah memang manusia membuat sejarahnya sendiri, tetapi mereka tidak membuat sejarah semahu-mahunya mereka. Mereka tidak pula membuat sejarah dibawah kondisi-kondisi yang mereka pilih sendiri, tetapi berdasarkan pada kondisi-kondisi yang telah terberi, yang tersedia, dan yang merupakan warisan masa lampau. Demikian pendapat sarjana Jerman dari abad ke-19.

 

Berbicara tentang warisan masa lampau, tradisi dan adat menjadi releven. Menurut satu pandangan tradisi dan adat adalah rekaan yang tercipta untuk dijadikan cara efektif mengekalkan kekuasaan. Tradisi memberikan kerangka dan dalam kerangka demikiran manusia bertindak. 

 

Pengalaman sejarah Zaman Pencerahan Eropah yang ingin menghapuskan tradisi telah gagal, lalu setelah itu sebagai reaksi muncul aliran falsafah konservatisme. Tradisi hanya terhapus apabila terjadi detradisionalisasi masyarakat.

 

Sebagai contoh, pada Disember 1989, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya melafazkan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong di Hat Yai. Tidak berapa lama setelah itu pula Pengerusi Parti Komunis Malaya, Abdullah C.D., kelahiran negeri Perak, menghadap Sultan Perak. Yang pertama itu mungkin tradisi legal, sementara kedua itu adat.

 

Bersama-sama buku pengarang terbitan 1993, buku ini membekalkan hujah untuk pembaca mencari pendirian politik dan intelektual masing-masing tentang satu institusi ribuan tahun usianya di Nusantara.



 

Ralat

Satu kesilapan penyuntingan terdapat pada halaman 12, baris 23. Sepatutnya ‘bapa saudara Tengku Ali, Tengku Ismail diangkat menjadi sultan yang baharu’. Kata ‘senario’ pada halaman 52 juga terlepas pandang penyuntingan. Kata ‘sekarang’ sebelum ‘senario’ adalah kontradiksi. Senario bermaksud urutan serta perkembangan yang diramalkan berlaku yang berkaitan waktu mendatang.


 

25 Ogos 2015

Write a Comment