Pakaian Cara Melayu | Siti Zainon Ismail
Penerbit: Penerbitan UKM
Penulis: Siti Zainon Ismail
Mukasurat: 340 mukasurat
Tahun terbitan: 2009
Bahasa: Bahasa Malaysia
Pakaian Cara Melayu tulisan Siti Zainon Ismail adalah kajian yang bertujuan meneroka, meneliti, dan menganalisis pakaian di alam Melayu. Pakaian adalah aspek budaya yang membuktikan kewibawaan adat istiadat wilayah budaya Melayu. Pakaian cara Melayu yang pertama kali disebut pada abad ke-16 adalah kesinambungan pola asas yang berkembang di istana Kerajaan Melayu Melaka pada zaman keagungannya di Kepulauan Melayu. Pemakaiannya tidak berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera sahaja, malah ke Brunei dan Sulawesi. Walaupun disana sini ada unsur luar yang digunakan tetapi ia digabungkan secara harmoni.
Di sinilah ditemui persamaan ciri reka bentuk pakaian wilayah budaya Melayu seperti baju kurung Palembang, baju kurung Melayu-Brunei dan baju panjang Minangkabau yang umumnya dikenal sebagai baju teluk belanga. Keistimewaan konsep pakaian cara Melayu dibuktikan dengan wujudnya ciri reka bentuk pakaian tradisional Melayu yang diterima sebagai salah satu identity budaya Melayu.
Perbandingan pola baju Melayu kurung Johor dengan pakaian Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Perak lebih memperlihatkan kesinambungan pengaruh dua unsur utama yang menyerap masuk melalui perkembangan sejarah dan budaya. Pakaian Cik Siti Wan Kembang adalah warisan budaya Sriwijaya, manakala Puteri Perak pula adalah kesan asimilasi budaya Melayu-Aceh. Kini kedua-dua pakaian ini adalah simbol kebesaran yang dijadikan pakaian adat kesenian.