Sosiobudaya dalam Filem Melayu Klasik
Buku ini tentang perkembangan filem Melayu klasik atau filem hitam putih. Suatu ketika dahulu filem hitam putih menjadi bahan hiburan yang sangat diminati ramai. Zaman perkembangan awal dan kegemilangan filem Melayu klasik ini banyak memberikan gambaran kukuh tentang falsafah dan pemikiran terutamanya dalam konteks seni dan sosiobudaya. dengan kepelbagaian pengisian subjek perfileman, sedikit sebanyak dapat membekalkan maklumat mengenai filem Melayu klasik keluaran 1950-60 an. Zaman penghasilan filem Melayu klasik sudahpun berlalu dan meninggalkan satu medium atau seberkas dokumentasi yang sangat banyak merakamkan pelbagai aspek kehidupan insan termasuklah paparan meluas tentang sosiobudaya masyarakat Melayu di negara ini. Kebanyakan filem Melayu klasik mudah difahami, biarpun dikatakan sedikit ketinggalan dari segi teknik dan teknologi pembikinannya, tetapi hasil dapatannya amat bermutu baik dari segi penceritaan dan warisan keseniaanya. Filem boleh disifatkan sebagai mesin perakam waktu yang dapat diputar ke belakang untuk membawa penonton atau pengkaji meneliti masa silam bagi mencari kebenaran dan kekuatan diri dalam membina masa kini dan masa depan yang lebih baik.