Memikir-ulang Tradisi Untuk Pembaharuan
Buku ini melewati semula agenda pembaharuan dengan menelesuri tradisi yang
tercerah, yang tersudut dalam sejarah serta harus dapat dikembalikan peranannya
tanpa pula kita terjebak meromantiskannya, yang mengidamkan pulang ke tradisi
semata-mata sebagai jalan keluar dari segala kemelut dan permasalahan yang kita
hadapi. Pembaharuan akan bisa berakar sekiranya tampil di kalangan agamawan dan
aktivis-santri yang bukan sahaja teryakin dari gagasan reformis, tetapi juga datang
dari sekelompok tradisionalis yang tercerah. Yang terakhir ini dapat membedakan
peranan tradisi yang dinamis sifatnya, sebagai gerak nilai dan budaya yang mampu
menawarkan nilai-nilai ulung dan universal sepanjang perjalanan sejarah, tanpa
terikat dengan pola pemikiran sesuatu zaman. Yang paling jelas, pembaharuan tradisi
agama akan terbantut selagi agama tidak bergerak dalam ranah yang bebas, yakni
dibelenggu dengan hegemoni konservatisme yang pantang mendengar ungkapan
baru yang tidak selari dengan ideologi mereka, ataupun wacana itu sendiri senang
dikotak-katikkan oleh pihak berwewenang, yang lebih cenderung untuk memaksakan
fahaman dominan ke atas semua, atas nama mengekalkan kemurniaan dan
kepersatuan agama dan jemaahnya.
Azhar Ibrahim, Ph.D adalah Timbalan Ketua Jabatan di Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau meraih ijazah Doktor Falsafah dan
Sarjana dari universiti yang sama dalam pengkhususan Pengajian Melayu, khasnya
dalam bidang kesusasteraan Melayu klasik dan moden. Tumpuan kajian beliau adalah
sosiologi sastera, teologi sosial, wacana kebudayaan, peradaban dan pemikiran
Islam, serta minat dalam wacana literasi kritis dan pembangunan intelektual
Melayu-Indonesia. Beliau juga telah menerbitkan sebuah antologi Syair Kesaksian
yang bertemakan kritik sosial. Antara buku beliau yang pernah terbit ialah: Historical
Imagination and Cultural Responses to Colonialism and Nationalism: A Critical
Malay(sian) Perspective (2017), Menyanggah Belenggu Kerancuan Fikiran Masakini
(2016), Utopia Masyarakat Lambak (2015), Cendekiawan Melayu Penyuluh
Emansipasi (2014), Bahasa dan Tantangan Intelektualisme (2014), Contemporary
Islamic Discourse in the Malay-Indonesia World ( 2014) dan Narrating Presence:
Awakening from Cultural Amnesia (2014).
Format | |
Author | Azhar Ibrahim |
Published | 2018 |
Paperback | Good |