Ustaz Sulam : Sebuah Potret Ulama Kampung
Click Image for Gallery
Ustaz Sulam : Sebuah Potret Ulama Kampung
ISBN: 978-967-2464-83-9
Publisher: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Author: Muhaimin Sulam
PRICE: TBC
Buku ini adalah usaha memaparkan peranan Ustaz Sulam Haji Mansor sebagai seorang guru agama biasa di sebuah kampung terpencil yang berjaya meletakkan dirinya di persada lebih luas. Sememangnya Ustaz Sulam bukanlah sosok tokoh yang dikenali ramai di negara ini. Dia bukan ulama tersohor yang berceramah serata tempat. Dia pun tidak terlibat dengan kegiatan politik atau pun kemasyarakatan dan mendapat liputan akhbar ada media massa. Di peringkat daerah, nama Ustaz Sulam agak dikenali, tetapi itu lebih bersifat sementara terutama sewaktu dia masih hidup. Atas faktor masa yang berlalu, lama kelamaan, namanya tiada dalam pemikiran masyarakat terutama generasi baru.
Ia juga memaparkan latar belakang keluarga dan pendidikan Ustaz Sulam hingga usahanya membangunkan sekolah menengah agama rakyat Maahad al-Islah sebagai salah sebuah pusat pendidikan yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat. Buku ini memberikan gambaran sosiobudaya Melayu pada tahun-tahun 50-an hingga 80-an dalam masyarakat kampung dan pesawah padi.
Kajian-kajian personal ‘tidak ternama’ mempunyai fungsi pensejarahan nasional yang lebih luas dan terbuka. Bahkan langkah penulisan ini akan menyemarakkan lagi penulisan biografi tokoh tempatan yang kurang diambil perhatian oleh masyarakat.
Pengarang
Pengarang adalah seorang penyair, penulis, budayawan dan aktivis politik di peringkat nasional. Pernah menjadi pensyarah di universiti tempatan yang mengajar hubungan etnik, sains politik dan geopolitik. Menjadi kolumnis di Malaysiakini, Malaysia Dateline dan NextStep Malaysia. Pernah menjadi kolumnis di Harakah dan Siasah suatu ketika dahulu.
Beliau juga adalah bekas Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Bidang beliau ialah dalam sejarah dan antropologi tempatan, politik, media, manuskrip Melayu klasik dan kebudayaan Nusantara. Mendapat PhD dalam bidang kepimpinan politik Islam di University of Wales Trinity St Davies, United Kingdom.
Antara karya-karyanya ialah Menang & Terbuang: Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat (2022), Akar Bangsa. Budaya, Naratif dan Identiti (2019), Sajak-Sajak Terlarang (2015), Aku Melayu di Kota Inggeris (2012), Mat Indera: Petualang atau Pejuang (2012), Diari Lokap Black 14 (2000) dan lain-lain lagi.